Kiraan Zakat Untuk Pencarum ASB Biasa & ASB Financing

January 8, 2019

Tahu tak, setiap caruman di Amanah Saham Nasional (ASB) wajib dizakatkan kerana ianya termasuk dalam Zakat Wang Simpanan.

Perihal lanjut bergantung kepada kategori anda sebagai pencarum;

ASB Biasa

Pelaburan ini dibuat menggunakan wang sendiri sebagai modal caruman.

Untuk situasi ini, pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan dan keseluruhan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Formula kiraan seperti berikut;

[Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan + Keuntungan] x 2.5% (Kadar Zakat)

Mari kita ambil contoh mudah;

RM 100,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 7,000 (Dividen + Bonus + Pendapatan Keseluruhan 7%) = RM 107,000 x 2.5% = RM 2,675.00 (Kadar Zakat yang Dikenakan)

ASB Financing

Pelaburan melalui ASB Financing adalah pelaburan yang dibuat dengan fasiliti pembiayaan ASB menerusi pihak bank. Senang cerita, buat loan bank untuk dijadikan modal pelaburan ASB.

Untuk situasi ini, pengiraan zakat hanya dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Formula kiraan adalah seperti berikut:

Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%

Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB yang menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.

Kes 1 (Compound ):

Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2018 7% dari RM 200,000 = RM 14,000
= RM 14,000 x 2.5%
= RM 350.00 (kadar zakat yang dikenakan)

Contoh (ii):
Modal Pelaburan RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2018 7% dari RM 50,000 = RM 3,500
= RM 3,500 x 2.5%
= RM 87.50 (kadar zakat yang dikenakan)

Dalam contoh (ii), nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat pada tahun 2018 iaitu RM 13,907.70. Mengapa dikenakan zakat juga? Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh (ii) di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta wang simpanan individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan lain-lain wang simpanan yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.

Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai jumlah wang simpanan lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi.

Kes 2 (Rolling):

Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.

Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2018 7% dari RM 200,000 = RM 14,000
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 14,000 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM 812
= RM 812 x 2.5%
= RM 20.30 (kadar zakat yang dikenakan)

Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 20.30. Situasi kenaan zakat ini adalah sama seperti contoh (ii) dalam Kes 1 di atas.

Contoh (ii):
Modal Pelaburan Maksimum RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen @ Pendapatan ASB 2018 + Bonus ASB iaitu 7% = RM 3,500
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama 15 tahun)
= RM 401 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 4,812
= RM 3,500 (dividen/pendapatan ASB) – RM 4,812 (bayaran semula pembiayaan)
= (-) RM 1,312

Oleh kerana, bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Rumit kan kiraan dia?
Kalau kurang faham dan nak kepastian, boleh terus call talian bebas tol kami di 1-800-88-1740 atau boleh terus buat bayaran di http://jom.zakatkedah.com.my kalau hampa dah faham elok.