Cara Buat Tuntutan Sekiranya Terlibat Dalam Kemalangan di Lebuh Raya Akibat Kecuaian Pihak Pengendali

Tahukah anda, sekiranya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya di atas lebuhraya dan kemalangan tersebut adalah hasil daripada kecuaian pihak pengendali lebuhraya, anda berhak menuntut ganti rugi kepada pihak tersebut tanpa membuat tuntutan insurans dan kehilangan NCD kenderaan.

Contoh kemalangan di lebuhraya :

  • Terlanggar objek asing di sepanjang jalan raya dan menyebabkan kerosakan pada kereta anda.
  • Kemalangan disebabkan oleh serpihan tayar lori, bangkai haiwan, ataupun jalan rosak.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak lebuhraya untuk memastikan jalan raya diselenggara dengan baik mengikuti aspek-aspek keselamatan dan piawaian tertentu.

Pemantauan pihak lebihraya kebiasaannya dijalankan setiap 45 minit di kawasan lebuhraya bagi memantau sebarang objek yang mengganggu lalu lintas.

Ini langkah yang perlu anda lalukan sekiranya terlibat dengan kemalangan hasil kecuaian pihak pengendali lebuhraya.

Turun Kenderaan & Catat Butiran Kemalangan

Sekiranya kemalangan berlaku, turun dari kenderaan anda. Catatkan :

  • Waktu kemalangan
  • Arah laluan kemalangan (Contohnya daripada Lebuhraya Karak menghala ke Kuantan)
  • Nombor kod laluan Kilometer kemalangan (Lihat di besi-besi pembahagi jalan. Terdapat nombor di tag kuning)
Contoh Nombor kod laluan jalan raya. Gambar ihsan Google

Ambil Gambar di Tempat Kejadian

Tangkap gambar :

  • Gambar kerosakan kenderaan di pelbagai sudut
  • Gambar tempat kejadian
  • Gambar Kilometer atau No Kod laluan jalan di tempat kejadian
  • Gambar objek yang dilanggar atau dielakkan
  • Gambar papan tanda (sekiranya ada), ataupun apa-apa gambar yang relevan sebagai gambar sokongan.

Hubungi Petugas Lebuhraya

Telefon hotline lebuhraya tersebut. Nombor telefon boleh didapati dan tertera pada telefon kecemasan di jalan raya. Boleh juga Google untuk mendapatkan nombor telefon tersebut.

Sebagai contoh, talian hotline untuk lebuhraya di bawah pengendalian PLUS adalah 1800-88-0000

Laporkan kemalangan tersebut. Sekiranya petugas lebuhraya tampil membantu, dapatkan nama dan nombor pendaftaran (plat) kenderaan petugas tersebut.

Buat laporan Polis di IPD terdekat dengan lokasi kemalangan

Buat laporan Polis berkaitan kemalangan tersebut. Laporan ini perlu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) paling dekat dengan lokasi kemalangan.

Lampirkan butir-butiran berkenaan kemalangan tersebut.

Buat Tuntutan di Pejabat Lebuhraya terdekat

Pergi ke pejabat lebuhraya yang berdekatan. Dapatkan borang tuntutan kemalangan akibat kecuaian lebuhraya. Isikan butir-butiran kemalangan dan lampirkan juga laporan Polis berkenaan kemalangan tersebut.

Permohonan tuntutan perlu dihantar dalam tempoh 2 bulan selepas tarikh kemalangan.

Pihak lebuhraya akan membuka siasatan berkaitan kemalangan tersebut dengan menyemak segala rekod, rakaman CCTV di lebuhraya, serta punca kemalangan tersebut sama ada ianya daripada kecuaian pihak pengendali lebuhraya ataupun pengguna sendiri.

Sekiranya pihak lebuhraya didapati cuai, mereka akan menanggung segala kos pembaikian kenderaan anda.

Namun, sekiranya kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna atau pemandu itu sendiri, pengguna perlu menanggung kos pembaikan yang terlibat (contohnya kos pembaikan lampu jalan sekiranya rosak).

Anda mungkin perlu menanggung kos pembaikan kenderaan terlebih dahulu

Hantarkan kenderaan untuk dibaiki terlebih dahulu. Kos baikpulih mungkin perlu ditanggung anda terlebih dahulu. Kemudian, lampirkan resit baikpulih kenderaan tersebut serta gambar semasa dan selepas baikpulih dibuat kepada pejabat lebuhraya sebagai lampiran bersama borang tuntutan yang dibuat sebelum ini.

Segala laporan Polis, resit-resit dan dokumen mesti salinan Original.

Tunggu Bayaran Ganti Rugi & Follow Up sekiranya perlu

Tunggu bayaran ganti rugi daripada pihak lebuhraya. Buat follow up sekiranya mereka lewat memproses permohonan anda.

Sekiranya pihak pengendali jalan raya enggan membayar 100% kos kerugian, buat rayuan kerana kos tersebut sememangnya kos yang perlu ditanggung oleh mereka.

Artikel ini adalah hasil olahan daripada perkongsian konten di akaun Facebook milik peguam Puan Nor Zabetha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *