Apa yang anda tahu tentang risiko menggunakan lambakan bekas plastik di pasaran? Mungkin tiada siapa pernah beritahu semua ini namun tahu tak, sebenarnya pemilihan botol minuman plastik sangat berkait rapat dengan tahap kesihatan badan.

Sebenarnya, setiap botol minuman plastik akan dilabelkan daripada jenis plastik apa ianya diperbuat. Apabila membeli botol minuman plastik, pengguna dinasihatkan memeriksa terlebih dahulu label jenis plastik tersebut.

Maklumat ini sangat penting kerana setiap jenis plastik tersebut mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh menjadi punca kepada pelbagai ancaman kesihatan terhadap tubuh badan manusia.

Ini gambaran label yang kebiasaannya boleh kita jumpa pada botol minuman ataupun bekas plastik:

330755-r3l8t8d-650-1033-11

PET atau PETE

PET atau nama saintifiknya, Polyethylene terephthalates adalah satu jenis plastik yang paling biasa digunakan dalam barangan industri pengguna. Ianya boleh ditemui pada kebanyakan botol air minuman ringan dan bungkusan makanan.

Penggunaan jenis plastik ini terhad untuk penggunaan satu kali sahaja. Ini kerana penggunaan berulang dikhuatiri boleh meningkatkan risiko pertumbuhan bakteria dan kandungannya boleh larut bersama air. Ianya bagaimanapun sukar untuk dilupuskan, dan pembersihannya pula perlu melibatkan bahan kimia yang merbahaya.

Plastik jenis ini berkeupayaan mengalir keluar logam berat dan bahan kimia yang boleh memberi kesan terhadap keseimbangan hormon badan. Ianya juga boleh memangkinkan kanser.

HDP atau HDPE

Kandungan plastik dengan label HDPE (High-density polyethylene) ini kebiasaannya digunakan dalam pembuatan jug susu, botol bahan pencuci, botol-botol minyak, permainan kanak-kanak dan juga beg plastik. Secara praktikalnya, plastik jenis ini tidak mengeluarkan bahan kimia. Kebanyakan pakar mencadangkan untuk memilih botol dengan kandungan plastik ini kerana ianya dikatakan paling selamat di pasaran.

PVC atau 3V

Plastik PVC adalah jenis plastik lembut dan fleksibel yang selalu digunakan pada pembalut makanan, botol minyak masak, permainan kanak-kanak, dan juga bungkusan produk-produk pengguna dalam pelbagai industri.

Plastik jenis ini mengeluarkan dua jenis bahan kimia toksik yang boleh mempengaruhi hormon-hormon dalam badan. Pakar mengesyorkan untuk tidak menggunakan plastik jenis ini sekiranya anda mahu menggunakan untuk tujuan menyimpan minuman atau makanan.

LDPE

Plastik ini selalunya digunakan sebagai beg plastik. Ianya tidak mengeluarkan sebarang bahan kimia apabila bertindakbalas dengan air, namun tidak boleh digunakan untuk pembuatan botol minuman ataupun bekas makanan. Ianya tidak disarankan untuk anda membeli makanan yang menggunakan pembungkusan yang diperbuat daripada LDPE kerana dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya.

PP

Plastik PP (Polypropylene) selalunya berwarna putih atau separa telus. Ianya kuat, ringan, dan mempunyai kualiti rintangan haba yang sangat baik.

Plastik jenis ini selalu anda jumpa apabila membuka kotak makanan cereal – satu lapisan halus yang digunakan untuk mengedap makanan daripada dimasuki udara. Ianya juga selalu digunakan sebagai lampin bayi, penutup botol plastik, penutup bekas yogurt, bekas cip kentang dan lain-lain.

Apabila dipanaskan, ianya tidak cair dan selamat digunakan. Ia juga berfungsi sebagai halangan yang baik terhadap kelembapan, gris dan bahan kimia daripada melekat.

PS

Plastik PS (Polystyrene) jenis ini juga biasa kita dengar. Ianya murah, ringan dan digunakan secara meluas pada kebanyakan cawan dan pinggan pakai-buang styrofoam serta bekas karton telur.

Ia mengeluarkan beberapa bahan kimia carcinogenic apabila dipanaskan, dan tidak sesuai digunakan untuk jangka masa panjang sebagai bekas makanan ataupun minuman.

PC ataupun plastik tidak berlabel lain

PC ataupun nama saintifiknya, Polycarbonate seringkali digunakan dalam pengeluaran botol air minuman sukan dan bekas makanan. Plastik jenis ini tidak menepati piawaian untuk dikitar semula mahupun digunakan semula.

Ianya merupakan jenis plastik paling berbahaya untuk kesihatan badan yang boleh anda jumpa kerana kandungannya memiliki potensi untuk larut lesap bahan kimia ke dalam makanan ataupun minuman bekas Polycarbonate yang mengandungi BPA (Bisphenol A).

Jadi, rajin-rajinkan diri untuk melihat label botol plastik anda!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.